baca selengkapnya di : http://www.poetra-anoegrah.co.cc/2010/04/cara-mengubah-judul-blog-dengan-judul.html#ixzz1Ie8isVZF

Klik Kanan

Rabu, 27 April 2011

Guru Sebagai Agen Pembentukan Akhlak Dan Moral Pelajar

Pendahuluan
Pemasalahan akhlak masa kini menjadi semakin ketara di kalangan pelajar sekolah. Sering terjadi pelajar terlibat dengan dadah, peras ugut, lepak atau berkeliaran di tempat hiburan dan pasaraya. Sekolah memainkan peranan yang penting selepas keluarga di dalam pembentukan akhlak dan ini jelas termaktub di dalam Falsafah Pendidikan Negara dan melalui penerapan nilai dalam KBSM.Sejak kebelakangan ini, apabila orang berbicara dan mengaitkan soal pendidikan, maka tidak terlepas isu moral di kalangan pelajar atau remaja dibicarakan sebagai satu topik besar. Kalau pada suatu masa dahulu, zaman sebelum perluasan pengaruh media komunikasi, terutama sebelum meluasnya pengaruh media elektronik, sedikit sangat orang yang berbicara dan mempersoal tentang moral. Malah pada zaman itu para pemimpin, cendiakawan atau orang biasa banyak yang berbicara tentang kepasifan pelajar-pelajar dan remaja kita. Pelajar-pelajar kita dikatakan kaku dan tidak berani tampil ke hadapan berhujah untuk membentangkan pendapat. Pelajar-pelajar kita gagal berkomunikasi dengan baik. Dengan kata lain, pelajar kita tidak agresif dan berani seperti sekarang.Tetapi keadaan masa kini sudah jauh berubah. Pelajar-pelajar dan remaja kita sudah menerjah keluar daripada kepompong kepasifan yang membelenggukan. Era baru dalam pembentukan sahsiah golongan ini terpapar di hadapan mata kita. Era baru sahsiah golongan pelajar dan remaja kita yang dulunya pasif, malangnya bukan berubah atau bertukar menjadi manusia yang aktif malah memaparkan model kerosakan dan keruntuhan moral yang semakin menjadi-jadi sehingga mengancam masa depan Negara.Di manakah silapnya? Salahkah para guru mengasuh dan mendidik benih-benih muda ini? Atau apakah Dasar Pendidikan Negara tidak berkesan? Mungkinkah unsur-unsur luaran amat berpengaruh dan berkesan sehingga dapat mengubah halatuju dan pendirian serta sikap para pelajar atau remaja kita? Segala-galanya berkemungkinan menjadi punca dan menjadi sebab akibat menularnya kepincangan moral yang berleluasa dan akan berterusan jika tidak dibendung secepat mungkin.Tetapi sebelum kita berbicara lebih lanjut tentang salah silap yang berada di mana-mana, yang memungkinkan berlakunya kerosakan dan keruntuhan moral, elok kita menyelak sejenak dan menghayati Falsafah Pendidikan Negara yang menjadi dasar yang kuat bagi para pendidik dalam menghadapi tugas seharian mereka.Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan kearah memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan Negara.2.0 Moral dan Akhlak: Latarbelakang IsuSistem Pendidikan Negara sekarang boleh dikatakan terbaik dan mungkin ia diakui oleh dunia. Walupun wujud sistem dualisme dalam pendidikan kita namun kelihatan semacam kesepaduan antara ilmu naqliah dan aqliah. Sistem pendidikan masih menekankan pendidkan moral, nailai dan aqidah melalui Pendidikan Agama Islam, Pendidikan Moral dan penerapan nilai-nilai murni dalam pengajaran. Untuk menjayakan pendidikan moral dan nilai dalam sistem pendidikan negara kita, setiap orang harus berusaha ke arah memperbaiki kerosakan dan keruntuhan akhlak yang menjadi-jadi, di samping terus menerapkan nilai-nilai akhlak yang baik selaras dengan tuntutan agama.Isu keruntuhan akhlak telah menjadi perbincanagn hangat di kalangan masyarakat sekaramg. Isu ini telah dibincangkan di semua peringkat masyarakat, dari kedai kopi, kaki-kaki lima, sekolah, IPT hatta di Dewan Negeri dan Parlimen. Ini menunjukkan betapa seriusnya masalah keruntuhan akhlak dalam masyarakat serta betapa pentingnya masalah keruntuhan ini ditangani dengan sebaik-naiknya agar ia tidak menjadi lebih parah.Keruntuhan akhlak telah berlaku di kalangan pemimpin peringkat atasan dalam bentuk penyalahgunaan kuasa, pecah amanah, rasuah, minum arak dan berpoya-poya. Gejala ini juga terdapat di kalangan remaja seperti pergaulan bebas, bohsia, lari dari rumah, bersekedudukan dan lain-lain lagi. Selain itu, keruntuhan moral di kalangan masyarakat dapat juga dilihat dalam bentuk putusnya hubungan kekeluargaan, hilangnya rasa kasih sayang serta wujudnya sikap pulau memulau dan benci membenci terutama di kalangan masyarakat Islam.Gejala keruntuhan akhlak pada umumnya adalah disebabkan oleh kealpaan dan kelalaian masa lampau tentang betapa pentingnya Pendidikan Akhlak Islam di ajar, disemai dan disuburkan dalam diri anak-anak kita. Kesedaran terhadap pentingnya pengukuhan akhlak ummah dan moral masyarakat telah diberi perhatian yang serius oleh kerajaan. Pada hari ini, beberapa program telah dilancarkan yang bertujuan melahirkan rakyat berakhlak dan bermoral tinggi.3.0 Konsep Moral dan AkhlakSecara kasar dan pada laras bahasa yang biasa kedua-dua istilah di atas menampakkan maksud yang sama. Kedua-dua membawa maksud perlakuan atau tingkah laku yang baik. Walau bagaimanapun kalau dihalusi akan terserlah perbezaannya.Menurut T.Iskandar (1970) dalam Kamus Dewan mengatakan moral adalah sesuatu yang berkaitan dengan apa yang betul dan adil. Moral bermaksud perlakuan baik mengikut norma, peraturan dan ketetapan yang dibuat dan dipersetujui oleh satu komuniti manusia. Pengertian ini betul untuk komuniti tersebut, masa tersebut dan lingkungan yang tertentu sahaja. Dengan keadaan yang lain persetujuan tersebut mungkin tidak berlaku. Dengan kata lain moral walaupun baik dan betul tetapi tidak universal. Kebiasaannya moral lebih menekankan perhubungan yang harmoni di antara manusia sesama manusia (disiplin-disiplin kemanusiaan) dan hubungan yang harmoni di antara manusia dengan alam sekitar (disiplin-disiplin sains tabii). Moral menekankan kepentingan dan keselesaan individu serta masyarakat tetapi bersifat peribadi. Moral tidak membenarkan berlakunya krisis atau pertentangan peribadi. Oleh sebab itulah nilai moral biasanya tidak dikaitkan dengan Maha Pencipta atau dengan soal-soal metafizik.Kolhbeg (1981) dalam menghuraikan perkembangan prinsip asas moral memberi penegasan seperti berikut:“…..the main factors which have been shown to correlate with the development of a principled, predictable morality are intelligence, moral knowledge (that is, knowledge of the rules of a society) the tendency to anticipate future events, the ability to maintain focused attention, thecapacity to control unsocialised fantasies, and self-esteem.”Goleman (1995) telah memberikan konsep baru tentang “emotional intelligence (EI)” atau kecerdasan emosi yang boleh dikaitkan dengan amalan nilai dan moral individu yang boleh berjaya dalam kehidupan sejagat atau ‘global village’.Moral berbeza dangan akhlak dari segi sumber yang menentukan sesuatu perlakuan yang baik. Sesungguhnya akhlak bersumberkan wahyu, iaitu hubungan dengan Maha Pencipta.Firman Allah S.W.T. yang bermaksud ;“Dan sesungguhnya kamu (Muhammad) benar-benar berakhlak mulia”.Dalam hal yang sama Nabi Muhammad SAW bersabda yang maksudnya “Sesungguhnya aku diutuskan demi menyempurnakan akhlak”. Aishah pernah ditanya tentang akhlak Nabi SAW maka dia menjawab; “Akhlaknya adalah Al-Quran”.Menurut Abdul Raof Dalip (1986), akhlak dapat diertikan sebagai kelakuan tatatertib, maruah dan merangkum seluruh perbuatan lahiriah yang dihasilkan daripada dorongan batiniah di dalam diri manusia. Ini bermaksud akhlak berakar umbi daripada sifat kerohanian yang suci. Dengan ini jelaslah bahawa akhlak bersumberkan wahyu daripada Maha Pencipta. Justeru, pendidikan akhlak akan membawa insan semakin dekat dengan Penciptanya.Persoalan akhlak dan moral ada kaitannya dengan iman. Orang yang beriman kepada Allah ialah orang yang sentiasa takut untuk melakukan perbuatan yang terlarang di samping mengerjakan yang disuruh Allah. Iman ini harus dimiliki dan menjadi benteng penghalang pengaruh-pengaruh negatif. Orang yang beriman ialah orang yang berakhlak mulia ( bermoral dan memiliki nilai murni ), orang yang sentiasa melakukan yang baik dan menjauhi dosa iaitu tidak melakukan perbuatan negatif yang bertentangan dengan norma-norma masyarakat.Sekiranya hal ini tidak diberi perhatian yang serius, maka pembentukan moral dan insan yang murni akhlak tidak akan berhasil. Walaupun kita berjaya melahirkan manusia berilmu tinggi namun tanpa disertai pendidikan moral dan akhlak, kita juga akan melahirkan insan yang akan menjadi perompak, perogol, pembunuh dan penjenayah yang lain di kalangan orang yang berijazah atau berpendidikan tinggi.4.0 Moral dan Akhlak Dalam Sistem Pendidikan di Malaysia. Matlamat pendidikan di Malaysia yang asalnya adalah rujukan daripada barat telah diubahsuai kepada konsep pendidikan bersepadu. Kurikulum pendidikan barat yang diasaskan daripada falsafah humanisme menekankan keharmonian dan keseimbangan di antara manusia dengan manusia, dan di antara manusia dengan alam sekitar. Kedua-dua hubungan ini adalah perlu dan baik tetapi ia masih berkisar dan bertitiktolak pada ilmu akal. Mana mungkin ilmu akal semata-mata dapat memahami hukum alam yang dicipta oleh Maha Pencipta. Justeru, untuk lebih memahami hukum-hukum alam yang dicipta oleh Tuhan, maka satu lagi dimensi yang paling penting perlu dimasukkan iaitu hubungan manusia dan alam sekitar dengan Maha Pencipta. Bagi hubungan dengan Maha Pencipta mestilah dirujuk kepada ilmu wahyu iaitu Al-Quran dan As-Sunnah. Dengan wujudnya kurikulum tiga dimensi ini, maka ia bolehlah dikatakan sebagai kurikulum bersepadu.Pengubahsuaian kepada bidang-bidang matlamat pendidikan perlu dilakukan agar ia bersesuaian dengan konsep bersepadu. Pengubahsuaian ini boleh dilihat dalam rajah 1 yang ditunjukkan di bawah.KognitifAqidah Akhlak Nilai Murni AfektifPsikomorRajah 1 : Kesepaduan ilmu Akal dan +ilmu WahyuMatlamat Pendidikan mestilah dimulakan dengan kekuatan aqidah. Kemurnian aqidah akan menjelmakan akhlak yang baik. Dari akhlak yang baik ini akan terpancarlah nilai murni yang akan dimanifestasikan oleh tingkah laku yang baik. Dan seterusnya dihayati dalam bidang-bidang kognitif, afektif dan psikomotor. Oleh yang demikian, matlamat pendidikan akan tercapai iaitu dapat melahirkan pelajar yang berintelek, berakhlak dan bertaqwa.Bagaimana mengaplikasikan konsep sepadu dalam pengajaran dan pembelajaran? Pengajaran menurut tradisi barat adalah bersifat sekular. Terdapat beberapa model atau pendekatan pengajaran seperti pendidikan kognitif, pendekatan aktiviti-aktiviti motivasi dan jaya diri, pendekatan pembinaan tingkah laku, pendekatan interaksi sosial dan pendekataan penggunaan ilmu. Guru boleh memilih mana-mana pendekatan yang sesuai dengan matlamat pendidikan yang telah ditentukan. Kelima-lima pendekatan ini hanyalah mencakupi ilmu akal.. Ilmu akal mempunyai had dan batasan tertentu. Kekangan ini akan menyebabkan kita gagal memahami ilmu dengan sebenarnya. Oleh yang demikian setiap pendekatan atau model pengajaran yang disebutkan di atas mestilah disasarkan kepada konsep-konsep ilmu wahyu. Ini dapat ditunjukkan oelh rajah 2 di bawah.Kognitif Motivasi & Tingkah Interaksi PenggunaanJaya Diri Laku Sosial IlmuAl-Guran Konsep Konsep Konsep KonsepAs-Sunnah Insan Fitrah Keseimbangan IbadahMODEL (Nilai Murni)AkhlakAqidahRajah 2 Menunjukkan Kesepaduan Dalam Pendidikan PengajaranSetiap pendekatan pengajaran mestilah dimulakan dengan aqidah. Seterusnya dikembangkan ke dalam akhlak dan moral. Nilai-nilai moral ini dihayati ke dalam konsep-konsep daripada ilmu wahyu iaitu konsep insan, konsep fitrah, konsep keseimbangan dalam hukum-hukum Allah swt dan konsep ibadah. Konsep-konsep daripada ilmu wahyu ini seterusnya disepadukan dan dihayati ke dalam kelima-lima pendekatan pengajaran yang akan digunakan iaitu kognitif, motivasi dan jaya diri, tingkahlaku, interaksi sosial dan penggunaan ilmu.Apakah tindakan selanjutnya yang perlu dilakukan? Untuk memastikan matlamat pendidikan tercapai seperti yang termaktub di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Wawasan 2020, maka:· Kepentingan manusia (insan) mestilah lebih utama dan istimewa daripada kepentingan ekonomi, sains, teknologi dan industri. Nilai dan harga diri manusia mesti berada pada tempat yang tertinggi. Dengan cara yang demikian, nilai dan moral dapat dilaksanakan dalam pendidikan negara.· Untuk memastikan wujudnya acuan Malaysia yang berasaskan nilai, guru dan para pemikir hendaklah bersedia untuk mengubah suai dan menilai semula seluruh komponen pendidikan supaya benar-benar mengikut nilai, sejarah, budaya, agama dan tamadun bangsa kita.· Kita perlu kembali kepada sumber wahyu yang hakiki dan benar untuk rujukan nilai kerana niali-nilai ciptaan manusia adalah bersifat subjektif dan tidak universal. Dalam konteks ini konsep bersepadu adalah yang paling sesuai diterapkan.· Pembinaan acuan Malaysia yang berasaskan moral dan nilai perlulah dimulakan dengan anjakan paradigma terhadap konsep dan falsafah ilmu. Kalau dulunya kita bertunjangkan barat dan kini sudah sampai masanya kita kembali kepada ilmu yang bersifat sepadu di antara ilmu akal dan ilmu wahyu.· Usaha untuk membina acuan Malaysia dengan fokus pembangunan manusia sebagai agenda istimewa perlulah dilaksanakan serentak dengan konsep pembinaaan masyarakat madani. Ini bermaksud persoalan moral, nilai dan manusia mestilah selari dengan konsep Ad-Din sebagai satu cara hidup. Ini bermakna setiap aktiviti kemajuan negara sama ada pendidikan, ekonomi, pengurusan,, perundangan, politik, kesenian dan sebagainya mestilah dilaksanakan secara bersepadu di antara ilmu akal dan ilmu wahyu. Inilah asas atau teras pembinaan acuan Malaysia.Penekanan kepada moral dan nilai direalisasikan dengan menjadikan Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral sebagai mata pelajaran wajib, dan selaras dengan wawasan 2020 di mana diharapkan masyarakat Malaysia dalam abad ke-21 akan mempunyai warga yang bukan sahaja mampu berdaya saing dalam Negara perindustrian, juga menekankan penerapan nilai-nilai murni melalui pendekatan pendidikan nilai merentasi kurikulum, termasuk kurikulum tersirat, iaitu kegiatan kokurikulum dan amalan tingkah laku di sekolah, yang diharapkan menghasilkan budaya sekolah yang beretika.Sebenarnya jika dikaji dengan teliti, pendidikan nilai ini mendasari falsafah pendidikan Negara kita kerana matlamat FPN adalah untuk menghasilkan insan yang seimbang dari semua aspek iaitu aspek emosi, intelek, rohani dan jasmani. Tanpa memasukkan program pendidikan nilai dalam kurikulum, cita-cita untuk melahirkan generasi cemerlang dari semua segi tidak akan berhasil. Hanya penerapan nilai dan pendidikan moral sahaja yang mampu mendidik dan membentuk individu menjadi seorang yang benar-benar rasional, amanah, bertimbang rasa, bertanggungjawab dan memiliki sifat-sifat mulia yang lain yang dipersetujui masyarakat.Di antaranya, Taylor (1961) mengemukakan pandangan bahawa nilai adalah darjah dan peraturan yang secara tergabung membina cara hidup manusia. Nilai menggariskan iadea-idea dan matlamat-matlamat hidup. Nilai adalah darjah normative dan peraturan kerana ia menjadi asas pegangan yang mempengaruhi pemikiran manusia semasa ia menjadi asas pegangan yang mempengaruhi pemikiran mnusia semasa membuat pertimbangan dalam menentukan cara dan gaya bertindak serta bertingkahlaku sebaik-baiknya untuk mengekalkan kesejahteraan dirinya (dalam Sufean Hussin, 1989).Mengikut seorang penulis lain dari India, Radharkaman Mukerjee (1965), beliau menyatakan bahawa nilai terbit daripada keinginan dan motif yang dibentuk serta diperakukan oleh budaya dan masyarakat. Nilai mengikat indidividu secara halus dan senyap. Bagi Allporrt (1961) pula, beliau menyebut bahawa nilai ialah kepercayaan yang mengakibatkan manusia memilih sesuatu tingkah laku. Wiliams (1968), mentafsirkan nilai sebagai apa saja yang dipegang oleh seseorang yang menjadi kriteria untuk membuat keputusan bagi memilih tingkah laku dalam angka mencapai hasrat dan keinginan.Model Pendidikan Nilai 3KModel ini dikemukakan berasaskan kepada anggapan dan keyakinan bahawa ;I(a) Manusia terbina dari tiga komponen iaitu akal, roh dan jasad (Al Ghazali (1967) Maslow,A.H. (1954), Taylor,P.W.(1961), Fathi Yakan (1988).(b) Penerapan nialai adalah satu proses yang berjalan secara tabie (Abdullah,N.U.(1988), Ismail Jusoh, (1993).(c) Manusia harus mengenali dirinya dan hubungannya dengan sistem alam dan Pencipta alam (Al Ghazali (1967), A.A.Maududi (1984). Dengan andaian dan kesedaran di atas maka model penerapan nilai digambarkan seperti berikut (Rajah 3) .NILAI MURNIINSAN SEIMBANGTAAT DAN PATUHKEPERCAYAAN KEPADA TUHANPENERAPAN KEFAHAMAN,KESEDARAN DAN KEYAKINAN (3K)TOPIK PELAJARANRajah 3Model Penerapan Nilai 3KRajah 3 di atas menunjukkan fasa-fasa yang harus berlaku atau diwujudkan dalam proses penerapan nilai. Individu yang menghayati niali-nilai murni akan terbina sekiranya pendidikan yang dijalani itu melibatkan ketiga-tiga bidang iaitu akal, roh dan jasad. Dalam model 3K di atas, penerapan nilai secara langsung boleh dilaksanakan melalui mata pelajaran yang diajar dalam kelas (Ismail Jusoh, 1993). Ia boleh dilakukan semasa membuat rumusan atau penutup pengajaran.Guru boleh mengaitkan isi pelajaran geografi, apabila belajar tentang tajuk kejadian hujan, kondensasi, proses sejatan, tekanan rendah dan tekanan tinggi dan sebagainya. Proses-proses tersebut tidak berlaku secara kebetulan. Semua kejadian ada Pencipta dan Penguasanya. Begitu juga dalam pelajaran Biologi, pelajaran mengenai sel, menunjukkan kekuasaan Tuhan. Sel yang seni itu mustahil wujud dengan sendiri tanpa ada sebab dan akibat disebaliknya. Tindak blas yang berlaku dalam sel tidak mungkin terjadi tanpa ada kawalan. Siapakah yang mengawalnya? Hakikat inlah yang patut ditonjolkan dalam pengajaran dalam rangka memberi kesedaran, kefahaman dan keyakinan (3K) kepada pelajar supaya mereka dapat menginsafi kewujudan Tuhan.Proses penerapan nilai melalui model ini boleh dilaksanakan secara langsung atau secara tidak langsung. Secara langsung, guru boleh menghubungkan terus isi pelajaran dengan nilai kepercayaan kepada Tuhan yang mana dengan nilai ini akan tersemai nilai-nilai murni yang dihajati seperti kerjasama, jujur, bersikap positif dan lain-lain seperti yang tersurat dalam Falsafah Pendidikan Negara.. Proses penerapan ini bukan terhad kepada jangka masa tertentu (semasa pelajar berada di alam persekolahan), bahkan ianya berjalan sepanjang hayat dan di setiap tempat. Proses ini juga bergantung kepada persekitaran, iaitu yang terdiri daripada keluarga, pendidik, masyarakat, media dan rakan sebaya. Jadi, penerapan nilai yang berkesan hanya terhasil jika terdapat persekitaran yang positif.Falsafah Moral dan Tingkah LakuFalsaafh yang relevan kepada profesion keguruan dan perkembangan pendidikan di negara ini ialah falsafah moral dan tingkah laku. Falsafah ini memerlukan peranan positif dan konstruktif profesion keguruan ke arah membina moral dan tingkah laku pelajar. Guru yang baik perlu mempunyai komitmen moral yang tinggi dan menjadikan diri mereka teladan yang baik kepada pelajar.Contohnya, guru tidak seharusnya mendenda dan melarang pelajar merokok sedangkan pada masa yang sama guru merokok di kawasan sekolah dan di mana-mana sahaja.Falsafah moral dan tingkah laku juga mendasari perkembangan pendidikan, perkembangan profesion keguruan dan perkembangan institusi sekolah. Bagaimanapun, pengaruh lain seprti agama, budaya, etika, pemodenan, sekularisme, dasar dan peraturan sekolah seringkali menimbulkan konflik dan percanggahan dari segi falsafah moral dan tingkah laku. Oleh sebab itu, pengajaran dan pembelajarn di sekolah sering kali berhadapan dengan isu kontroversi dan menyulitkan peranan guru serta peranan sekolah menangani krisis yang berlaku dalam masyarakat.Ideologi buku teks yang digunakan di sekolah-sekolah di Malaysia begitu kuat dipengaruhi oelh aliran falsafah moral dan tingkah laku bagi tujuan mengawal tindakan dan tingkah laku golongan muda. Pada masa yang sama terdapat unsur-unsur pemodenan dan revolusi moral dan tingkah laku yang menyebabkan berlakunya tingkah laku baharu iaitu agresif, konfrontasi, kecenderungan untuk mencabar dan mengkritik dan sebagainya.Falsafah moral dapat menolak fahaman kebendaan yang menguasai masyarakat dan memberikan kesan tertentu kepada dunia pendidikan dan profesion keguruan. Bersifat kebendaan memanglah penting dalam kehidupan, terutama isu kemiskinan dan kemunduran dalam masyarakat Malaysia yang masih begitu kuat menghalang berlakunya perubahan dan menjejaskan kualiti pendidikan golongan miskin. Semangat berusaha kuat untuk mencapai perubahan perlu ditanamkan kepada anak-anak golongan miskin supaya kemajuan kebendaan dapat membantu dan membentuk mereka mencapai kehidupan yang lebih baik dan menyediakan peluang pelajaran dan kemudahan belajar di rumah yang mendorong kemajuan mereka.5.0 Guru: Agen Pembentukan Akhlak dan Moral.Guru adalah satu golongan masyarakat yang khas. Atan Long (1980) mendefinisikan guru sebagai satu golongan masyarakat untuk memberikan pendidikan secara formal dan bersistematik kepada generasi muda dalam masyarakat itu. Memang dikatakan guru memainkan peranan penting dalam menjayakan pendidikan moral dan nilai kerana ketika anak-anak berada di sekolah guru-gurulah yang memainkan peranan sebagai ibu bapa. Oleh itu peranan guru dan ibu bapa sama penting dalam pendidikan.Sebagaimana ibu bapa, guru-guru juga dipandang oleh anak-anak didiknya sebagai contoh atau ‘role model’. Kalau tidak masakan ada pepatah berbunyi “ Guru kencing berdiri, murid kencing berlari”. Oleh itu, setiap guru mesti memiliki akhlak yang mulia agar sifat-sifat mulia itu dapat diteladani dan diikuti. Apa kata kalau guru sendiri tidak dapat menjadi sebagai ‘role model’ yang baik, bak kata pepatah tadi, muridnya tentu tidak berguna. Tegasnya, anak-anak didik akan menjadi lebih biadap lagi.Sebagai ‘role model’ bukan mudah. Segala gerak geri, tingkah laku dan perwatakan menjadi ikutan. Cara guru bercakap, berjalan, berpakaian dan paling utama dari segi akhlaknya diperhatikan. Guru yang baik disenangi anak-anak didiknya. Apatah lagi kalau guru ini jujur dan ikhlas, segala tunjuk ajar, ingatan atau nasihat serta bimbingan yang diberikan mudah diterima.Kejayaan dalam menerapkan nilai-nilai murni bergantung kepada kesabaran guru kerana guru merupakan orang yang paling berpengaruh dalam pembentukan sahsiah dan ‘mind set’ seseorang individu pada tahun-tahun formatif anak-anak didiknya. Anak-anak ini memerlukan asuhan dan belaian kasih saying sebagaimana yang dicurahkan oleh ibu bapa mereka.Guru merupakan orang paling penting dalam mewujudkan suasana pembelajaran yang harmonis sehingga anak-anak didiknya akan berasa sekolah seperti rumah keduanya. Sekaligus suasana yang harmonis itu dapat pula membentuk apa yang dikatakan “Sekolah tanpa takut (No fear school)”. Kalau dapat diwujudkan suasana seperti itu maka sudah tentu anak-anak didik dapat memperkembangkan potensi dan mengawal emosi secara menyeluruh dan seimbang. Dan yang pastinya suasana pembelajaran yang sedemikian dapat membantu guru-guru atau pihak sekolah mewujudkan sekolah penyayang.Guru juga dapat memberi tunjuk ajar yang berkesan dan bertanggungjawab membentuk minda, sikap dan kelakuan anak-anak didiknya yang bakal menjadi anggota masyarakat selepas tamat persekolahan, sama ada menjadi pemimpin politik, pegawai kerajaan, ahli korporat, atau setidak-tidaknya menjadi isteri atau suami yang berakhlak mulia.Untuk mewujudakan sekolah penyayang atau sekolah tanpa takut, maka guru seharusnya berupaya menjadi contoh dan teladan yang baik, pendorong yang berkesan, pembimbing yang bertimbang rasa, pendengar yang penuh rasa simpati dan menjadi sumber inspirasi kepada anak-anak didiknya. Selain itu, guru juga seharusnya menunjukkan sikap dedikasi dalam menjalankan tugas sehariannya dan mengamalkan apa yang disampaikan kepada anak-anak didiknya dengan penuh tanggungjawab dan beretika.Hubungan guru dengan masyarakat juga menjadi perhatian. Selain mewujudkan sekolah penyayang guru juga berperanan dalam mewujudkan permuafakatan dengan masyarakat setempat. Ini kerana guru telah sekian lama dikanali sebagai pemimpin kecil yang dapat menyatupadukan masyarakat melalui jalinan mesra dalam pergaulan mereka dengan masyarakat.Setiap guru harus komited terhadap kerjaya pendidikan, berperibadi tinggi an bersikap terbuka tanpa memilih kaum atau keturunan dalam menyampaikan ilmu pengetahuan terutamanya dalam menjayakan pendidikan moral. Dalam masyarakat majmuk di Malaysia ini, anak-anak didik terdiri daripada pelbagai keturunan dan fahaman keagamaan. Jadi dalam menangani masalah moral atau menjayakan pendidikan moral, guru mestilah menjauhi sikap prejudis. Keikhlasan dan kejujuran patut wujud dalam diri guru dan menampilkan pengajaran mengikuti aspirasi Negara. Dalam hal ini guru-guru yang dedikasi dan komited terhadap tugasnya ialah guru yang sejati, berinovatif dan kreatif.Dengan kata lain, falsafah yang mengemudikan amalan pendidikan di sekolah ialah bahawa semua guru merupakan guru dalam Pendidikan Moral dan Pendidikan Nilai. Lebih penting ialah guru diperlukan menerap nilai-nilai murni, sepertimana yang dikenalpasti sebagai nilai inti (core values) dalam pengajaran mereka masing-masing. Selain dari itu, guru juga ialah role model, kepada pelajar mereka dan tingkahlaku guru melambangkan keprofesionalan profesion itu.Dengan penekanan nilai di sekoah, dan guru diharapkan melambangkan diri sebagai agen pendidikan moral di sekolah, maka kepentingan Pendidikan Moral dan Nilai dalam profesion perguruan tidak perlu dipersoalkan.Martabat profesion perguruan biasanya dibayangkan daripada perspektif bagaimana seseorang guru menjalankan tugasnya iaitu membantu peajar-pelajar mereka belajar. Tugas guru ialah menyampaikan pengetahuan kepada pelajarnya, berbentuk isi kandungan yang ditetapkan dalam mata-mata pelajaran tertentu. Tetapi, lebih dari itu, tugas guru ialah mendidik, dan dengan ini bermakna membantu perkembangan individu pelajar mereka, bukan sahaja dari segi penguasaan ilmu tetapi juga perkembangan individu itu sendiri, pembangunan insan pelajar itu mengikut lunas-lunas nilai masyarakat dalam konteks masyarakat Malaysia. Kejayaan pendidikan sukar diukur tetapi boleh dikatakan adalah diharapkan lebih dari semata-mata pelajar mencapai dalam peperiksan awam. Yang penting ialah sama ada guru berjaya memberi: pertama (i) pengetahuan kepada pelajarnya dengan menanamkan nilai “mencari ilmu” di kalangan mereka, menanamkan semangat “pembelajaran sepanjang hayat” dan kedua (ii) membentuk peribadi mulia, manusia berilmu dan berketrampilan serta mempunyai nilai-nilai masyarakat Malaysia, khususnya mencapai matlamat yang dimaktubkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.Martabat profesion perguruan juga dibayangkan dari perspektif bagaimana seorang guru bertindak sebagai seorang agen moral, dan contoh moral kepada murid-murid mereka. Personaliti guru dan nilai-nilai tersendiri yang dipamerkan melalui tingkahlakunya, mempengaruhi peranannya sebagai agen moral dan contoh kepada murid-murid. Dalam pengajarannya, seorang guru mungkin secara tidak langsung menerapkan nilai tersendiri dalam situasi pengajaran dan pembalajaran melalui pemilihan isi kandungan, prosedur dan bahan untuk pengajaran dan pembelajaran. Ini akan membawa kesan yang negatif jika nilai tersendiri tidak selaras dengan nilai-nilai murni masyarakat Malaysia, seperti yang digariskan dalam panduan penerapan nilai murni merentasi kurikulum. Kegagalan guru untuk mempraktikkan nilai-nilai yang seharusnya mereka terapkan kepada pelajar mereka akan merendahkan martabat profesion itu sendiri.Profesion keguruan pada abad ke-21 terdedah kepada berbagai-bagai cabaran baharu. Setengah cabaran adalah berbentuk kebendaan, intelektual, pemikiran, kerohanian, kebudayaan, ideologi baru dan isu-isu yang berkaitan degan masalah etika. Cabaran penting profesion keguruan ialah membina dan membentuk masyarakat beretika yang mampu membangun dan membina kekuatan sendiri serta menentukam masa depan yang bebas daripada berbagai-bagai krisis sosial dan moral.Fenomena sosial seperti merokok, gangguan seksual, pesta seks di kalangan pelajar, lari dari rumah, menagih dadah, bergaduh, gengterisme, mencuri, membuli adalah gejala juvana dan delinkuen yang meluas di kalangan remaja di sekolah.Masalah ini mencerminkan kelemahan sekolah dan profesion keguruan dalam membendung dan menangani masalah sosial di sekolah. Oleh sebab itu, timbul berbagai-bagai penulisan yang mencerminkan kelemahan sekolah yang dikaitkan dengan masalah sosial seperti sekolah melahirkan jenayah, sekolah tanpa roh dan watak. Pengurusan tingkah laku yang tidak berkesan di sekolah menunjukkan kelemahan peranan guru-guru di sekolah. Dengan bertambah ramainya guru perempuan, peranan bapa di sekolah semakin lenyap. Kesan daripada masalah ini ialah meningkatnya masalah disiplin dan sosial di kalangan pelajar. Wawasan pembangunan dan pendidikan di sekolah tidak berkesan kerana asas kerangka tindakan pengurusan tingkah laku yang tidak berkesan.Kualiti pendidikan yang diterima oleh pelajar-pelajar bergantung kepada kualiti pengajaran dan ini bergantung kepada guru-guru mereka. Untuk mendapatkan kualiti pendidikan yang sewajarnya, maka seseorang guru itu mestilah bersikap professional. Professional bukan bermakna mendapat gaji yang lumayan tetapi ia termasuk penetapan standard yang tinggi untuk memasuki kerjaya perguruan, calon guru yang terbaik, persediaan dan pendidikan guru yang berkualiti, pendidikan berterusan semasa bekerja, suasana kerja yang selesa yang cukup dengan peralatan mengajar, peluang untuk berinteraksi dengan rakan sekerja dan boleh membuat keputusanMohd Sani Ibrahim merumuskan bahawa guru yang professional ialah (Rujuk rajah 4):· Guru yang berilmu (content knowledge)o Ilmu yang berkaitan isi kandungan mata pelajaran, pengetahuan pedagogi, bahan, kaedah dan teknologi.· Guru yang mempunyai kemahiran dan ketrampilan dalam proses pengajaran pembelajaran (Pedagogical knowledge and pedagogical content knowledge)o Meliputi merancang, mengurus, memilih starategi dan meransang pengajaran pembelajaran, kemahiran teknologi, kemahiran generik, kemahiran kaunseling dan menilai p-p· Guru yang mempunyai sahsiah yang boleh menjadi contoh teladan dan ikutan kepada golongan yang dipimpin. Antara ciri-ciri sahsiah yang perlu dimiliki ialah peribadi dan tingkah laku yang mulia, menggunakan bahasa yang standard dan mempunyai komitmen yang tinggi untuk menjayakan usaha yang dilakukan.o Meliputi taqwa, akhlak, peribadi mulia, komitmen, sopan, positif dan budaya ilmu.Rajah 4 : Model Guru Yang Profesional6.0 Pembentukan Akhlak Dan Moral: Aplikasi Di Bilik Darjah6.1 Pendekatan langsung melalui pengajaran Pendidikan Islam dan MoralPendekatan langsung membabitkan pengajaran dua mata pelajaran yang khusus di peringkat sekolah rendah dan menengah, yang bertumpu secara langsung terhadap perkembangan moral, etika, akhlak, dan pendidikan nilai, iaitu mata pelajaran Pendidikan Islam bagi pelajar Islam dan Pendidikan Moral bagi pelajar bukan Islam.6.2 Pendekatan tak langsungPendekatan tak langsung membabitkan penggunaan mata pelajaran-mata pelajaran dalam kurikulum sekolah sebagai alat untuk merealisasikan pendidikan nilai dan moral. Sebagai contoh, pengajaran Bahasa Melayu dan Sejarah membekalkan peluang atau sumber yang baik bagi pendidikan nilai dan moral. Para pelajar boleh mengenalpasti dilema moral, penaakulan moral dan membuat keputusan moral dalam novel dan penulisan sejarah. Pendekatan tak langsung adalah sebahagiannya berlandaskan andaian bahawa pemahaman tentang manusia dan kemanusiaan memerlukan perkembangan daya imaginasi dan intuisi yang membolehkan seseorang meningkatkan kepekaan moral dan kepekaan intelektual (Gambell 1988).Penerapan nlai murni telah diwajibkan di dalam semua mata pelajaran. Persoalannya sejauhmanakah guru berjaya mengimplimentasikan penerapan nilai tersebut dan adakah penilaian dibuat tentang proses dan produknya. Satu kaedah yang dapat memupuk beberapa nilai murni ialah pengajaran secara kooperatif. Pembelajaran ini bukan setakat pelajar duduk dalam kumpulan kecil tetapi kumpulan itu ada semangat kekitaan yang mana murid dapat bantu membantu ahli kumpulan belajar dan meningkatkan prestasi sendiri dan kumpulan.6.3 Aktiviti KokurikulumKita maklum bahawa di sekolah masa kini terdapat pelbagai aktiviti kokurikulum seperti unit beruniform, persatuan dan kelab serta sukan permainan. Pada umumnya di sekolah satu hari pada hujung minggu dikhususkan untuk kegiatan ini dan semua pelajar diwajibkan terlibat. Begitu juga untuk guru, mereka perlu hadir sekolah pada hari Sabtu. Bila guru tidak datang maka pelajar pun begitu juga dan akhirnya aktiviti tidak berjalan langsung. Pengetua / guru besar haruslah berhikmah dan memujuk guru-guru agar memenuhi tanggungjawab mendidik anak bangsa melalui kokurikulum. Aktiviti ini perlu dijalankan dengan menarik. Apabila semua pelajar sudah senang hati dan seronok, mereka tidak akan terfikir atau berpeluang untuk keluar ke tempat-tempat awam. Dengan cara ini mereka terhindar dari gejala sosial yang meruntuhkan akhlak.6.4 Pendekatan Pendidikan Rasulullah SAWPendidikan Rasulullah SAW bergantung kepada beberapa faktor. Satu daripadanya ialah objektif pengajaran itu sendiri sama ada untuk menanam keimanan, mengajar ibadah atau akhlak. Di dalam mengajar akhlak yang terpenting ialah akhlak beliau sendiri. Perkataan dan perbuatan beliau adalah contoh untuk diikuti. Beliau mempunyai sifat terpuji iaitu tabah, pemaaf, pemurah, sopan santun, belas kasihan, rendah diri, adil, amanah, pendiam, takut dan taat kepada Allah serta banyak beribadat.Rasulullah SAW mengajar ibadat ialah melalui demontrasi atau tauladan seperti cara beliau sembahyang, berpuasa dan menunaikan haji. Baginda juga membetulkan kesalahan yang dibuat oleh pengikutnya dengan cara yang betul. Begitu jugalah di sekolah, guru-guru hendaklah selalu menggunakan kaedah demontrasi atau tunjukajar selain daripada kaedah soaljawab dan bertukar-tukar fikiran. Akhlak dan kewibawaan Rasulullah telah menyebabkan umatnya sayang dan hormat kepadanya. Sahsiah beginda inilah yang dapat menarik musuh menjadi kawan dan yang bukan Islam memeluk Islam. Guru-guru juga dapat menukar akhlak murid dengan dirinya sendiri dahulu mengamalkan nilai murni yang bakal diterapkan kepada murid. Murid berada di sekolah selama sebelas tahun dan dari 6-8 jam sehari. Ini adalah masa yang lama untuk membentuk sahsiah dan guru adalah model yang sentiasa diperhatikan oleh murid.6.5 Sokongan daripada Pentadbir sekolahUntuk membentuk akhlak para pelajar, pihak pentadbir sekolah khasnya pengetua dan guru besar harus memainkan peranan ini dengan bersungguh-sungguh. Mereka boleh menekankannya dengan memberi ucapan mingguan di samping pengumuman yang lain. Ucapan yang diberi hendaklah yang memberi penekanan kepada moral dan akhlak pelajar. Dengan cara yang demikian pelajar akan merasa mereka diberi perhatian. Selain itu program berbentuk pendidikan akhlak diadakan di sekolah atau di luar sekolah contohnya kem motivasi. Aktiviti perlulah menarik minat remaja seperti sukan, nyanyian dan di samping itu diberi pendidikan moral dan agama.6.6 Kepimpinan “inspirational”Guru sering dilihat sebagai pemimpin yang penting dalam memberikan dorongan dan membina watak serta sahsiah pelajar. Kepimpinan “inspirational” berperanan memberi dan membina semangat, mempunyai kekuatan bagi mengubah dan mendorong kejayaan pelajar, dapat memberi keinsafan dan menanamkan kesedaran diri, memulihkan moral dan keyakinan diri pelajar, memberi inpirasi serta mengilhamkan perubahan yang dinamik serta positif kepada pelajar. Golongan pendidik seharusnya mempunyai inpirasi dan aspirasi yang tinggi untuk memimpin ke arah perubahan. Inpirasi boleh dicetuskan melalui pemikiran dan idea-idea, sentuhan emosi atau perasaan serta stail dan gaya kepimpinan yang berpotensi dan berwibawa mempengaruhi orang lain.6.7 Kepimpinan KerohanianGuru harus mempunyai corak kepimpinan ini kerana ia penting untuk membina sahsiah pelajar. Kepimpinan kerohanian ialah kepimpinan yang menekankan soal-soal moral, agama, ibadah, tingkahlaku yang baik, adab dan hubungan yang bersopan santun. Guru perlu membina sikap toleransi antara kaum dan budaya dalam kepimpinan pendidikan agar dapat membentuk budaya dinamik sekolah terutamanya keadaan sekolah yang mempunyai pelajar dan guru berbilang kaum, agama dan kepercayaan. Peranan kepimpinan kerohanian amat penting dalam pembentukan watak dan sahsiah seterusnya dapat membina kekuatan moral di kalangan pelajar dan guru. Tanpa agama dan moral yang baik, pendidikan akan gagal membentuk warganegara yang mempunyai asas-asas moral yang baik untuk dijadikan panduan dalam kehidupan mereka.6.8 Pembelajaran koperatifPembelajaran koperatif merupakan pembelajaran kumpulan kecil yang diperkenalkan dengan meluas sebagai sesuatu strategi pengajaran yang dapat meningkatkan pembelajaran dan sosialisasi (Cohen 1994). Pembelajaran koperatif adalah satu strategi pengajaran di mana pelajarnya bekerja secara koperatif dalam sesuatu kumpulan kecil yang heterogenus.Menurut Slavin (1995) pembelajaran koperatif membabitkan pelajar bekerja bersama untuk menyelesaikan masalah secara berkongsi. Beliau menyatakan pembelajaran koperatif membantu pelajar untuk mengembangkan perasaan “satu kumpulan” dalam memperkenalkan keperluan saling membantu dan saling menyokong situasi pembelajaran. Pelajar akan bekerja bersama-sama, belajar untuk saling memberi dan menerima, bantu-membantu, berkongsi idea dan mencari cara baru bagi menyelesaikan masalah. Ahli-ahli kumpulan dalam pembelajaran koperatif terdiri daripada pelajar yang mempunyai kebolehan dan sosioekonomi yang berbeza, berbeza etnik, jantina dan pencapaian akademik. Setiap pelajar dalam kumpulan boleh meningkatkan pencapaian, meningkatkan harga diri pelajar, memiliki kemahiran berkolaborasi sesama rakan dan pergaulan sekitarnya.Kaedah pembelajaran ini memerlukan usaha guru melatih murid bekerja dalam kumpulan dengan betul, iaitu bersikap mahu mendengar pendapat orang lain, memberi pengukuhan, menjadi pemimpin / ketua yang demokratik, membantu rakan sekumpulan dan berusaha mendapat kejayaan. Guru harus bersedia memupuk semangat kekitaan terlebih dahulu sebelum mengajar perkara akademik. Kajian Kooperatif di Amerika (Nor Azizah 1992) dan di Malaysia (Jamilah Karim 1992), Ida Fadil (1995) menunjukkan bahawa beberapa nilai murni dapat dipupuk seperi sayangkan sekolah dan rakan-rakan, bekerjasama, berani bersuara dan berinteraksi antara kaum. Kajian Yee Cheng Teik (1995) menunjukkan di dalam kaedah Matematik kaedah ini dapat empertingkatkan kebolehan murid dalam menyelesaikan masalah dan meninggikan pencapaian.7.0 PenutupPengajaran dan pemupukan nilai-nilai murni ke dalam diri pelajar merupakan tugas suci (mission) sekolah sejak zaman berzaman. Namun dewasa ini, baik di negara barat ataupun di negara timur persoalan ini jugalah yang menjadi isu hangat kerana ternyata sekolah begitu berjaya mencungkil dan mengembangkan hamper seluruh potensi yang ada pada diri pelajar yang bersifat kognitif dan psikomotor tetapi kurang mampu untuk turut sama mempertingkatkan nulai-nilai moral dan akhlak. Sejaka zaman dahulu lagi iaitu para filosof Greek, golongan skolastik dan ahli-ahli fikir tradisional tanpa merasa jemu membuat penegasan bahawa fungus utama pendidikan adalah ke arah membangun peribadi diri, khususnya aspek–aspek yang berkaitan dengan perkembangan moral dan akhlak.Di samping kepentingan peribadi, perwatakan dan sahsiah guru yang menjadi role model kepada murid-murid yang memberi sumbangan yang besar dalam menerapkan budaya moral dan akhlak yang baik, peranan Pendidikan Moral dan Agama Islam itu sendiri juga tidak boleh dipertikaikan. Secara teori, kerangka konseptual, matlamat dan organisasi kandungan, kurikulum Pendidikan Moral di Malaysia adalah sesuatu yang ideal, lengkap dan senpurna.Pelaksanaan Pendidikan Moral menuntut sekolah menyempurnakan dua tanggungjawab yang besar dan berat iaitu yang pertama:sekolah terpaksa mengajar nilai-nilai murni kepada peljar yang mana nilai-nilai tersebut tidak di ajar di rumah dan kedua: demi untuk menjamin proses pengajaran dan pembelajaran berlaku dengan berkesan, sekolah mesti berperanan sebagai “caring moral communities” yang boleh membantu kanak-kanak yang terabai dan sugul dari rumah agar mereka dapat dimotivasi dan dipupuk minat mereka kepada pelajaran, dapat mengawal perasaan marah dan kecewa, serta dapat merasai bahawa diri mereka sebenarnya masih disayangi dan berpotensi menjadi insan yang bertanggungjawab.Dalam menjayakan pendidikan moral dan akhlak sepenuhnya, semua pihak mesti melakukan reformasi terhadap diri masing-masing serta memandang ke hadapan dengan fikiran yang terbuka dan positif, mengamalkan cara hidup yang bermoral, berhemah tinggi serta sanggup menjadi ’model’ dalam masyarakat. Guru terutamanya amatlah penting memahami bahawa penghayatan moral, nilai dan akhlak merupakan asas kepada kehidupan manusia dan asas martabat sesuatu profesion khasnya profesion keguruan yang bertanggungjawab untuk memanjangkan tradisi dan budaya masyarakat Malaysia. Di samping itu, penghayatan amalan moral dan akhlak yang baik di harap dapat merealisasikan matlamat pendidikan seperti yang telah termaktub dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan serta mencapai Wawasan 2020.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar